Ahad, 13 Oktober 2013

STRATEGI KESANTUNAN LISAN DAN PENULISAN

STRATEGI KESANTUNAN
  • Dalam percakapan seseorang perlu bersikap santun dengan menggunakan kata-kata yang sesuai dengan situasi. 
  • Tujuan: Menjaga air muka seseorang. 
  • Bahasa atau tindakan yang mengancam kehormatan orang lain haruslah dihindari. 


CONTOH

Anda ingin menggunakan satu daripada beberapa pen di atas meja guru anda. Apakah yang akan anda tuturkan? 

A.Saya nak guna pen.
B.Boleh tak saya guna pen tu?
C.Minta maaf kerana mengganggu, boleh tak saya gunakan pen tersebut?

Pastinya anda akan memilih ungkapan yang sesuai dengan mempertimbangkan identiti orang yang bertutur dengan anda dan bagaimana anda boleh menjaga kehormatannya. Maka, strategi kesantunan diaplikasikan.

STRATEGI KESANTUNAN BROWN & LEVINSON

1. Membuat andaian bahawa setiap individu : 
  • mempunyai air muka 
  • menyedari bahawa individu yang lain juga mempunyai air muka.
2. Air muka terbahagi kepada dua: 
  • Air muka positif : keinginan individu untuk merasakan bahawa dirinya atau air mukanya dihargai 
  • Air muka negatif : keinginan individu untuk merasakan hak, kebebasan dan kuasa autonomi terhadap tindakannya.

4 STRATEGI KESANTUNAN LISAN &PENULISAN BROWN & LEVINSON

1. Strategi Langsung
  • Melakukan FTA (perilaku bahasa yang mengancam air muka) untuk menyatakan sesuatu dengan jelas. 
  • Biasanya dalam bentuk perintah dan digunakan antara pihak yang saling mengenal dan rapat, seperti teman / anggota keluarga.


CONTOH 

 LISAN : 

CONTOH 1: “Ambilkan benda tu.”

CONTOH 2: “Berikan satu pada saya.”

  • Penutur ingin menyampaikan sesuatu dengan cepat dan efektif. 
  • Biasanya digunakan antara teman akrab atau anggota keluarga.
CONTOH 3: “Siapkan kertas kerja hari ni.”

  • Sebab : Penutur memiliki kuasa yang lebih tinggi daripada pendengar. Penutur tidak mempedulikan apabila tidak mendapat kerjasama daripada pendengar. 
  • Biasanya digunakan oleh penutur yang lebih berkuasa daripada pendengar.

PENULISAN : 


“Get out,” she said to me. “I want to talk with Mother.” 
 (“Keluar”, katanya padaku. “Aku ingin bercakap dengan Ibu.”)               ~~Memoirs of a Geisha

  • ‘get out’ menunjukkan bahawa penutur tidak mengurangkan FTA. 
  • Tuturan ini dapat mengancam muka negatif lawan tutur.

2. Strategi Kesantunan Negatif / Formal: 

  • Penutur menjaga air muka negatif lawan tutur untuk mempertahankan kebebasan tindakannya. 
  • Biasa berlaku dalam kalangan orang yang belum dikenali, antara atasan dengan bawahan dan antara orang muda dengan orang yang lebih tua.


CONTOH 

 LISAN : 

CONTOH: “Bolehkah kamu bukakan pintu tu?”
  • Penutur menyatakan permintaan dengan orang yang tidak begitu rapat.

“Kamu tidak mau mencuci piring-piring itu?”

“ Anda
ambilkan garam itu untuk saya, ya?”

“Saya rasa meja ni
harus dicat.”

  • Penuturan sebegitu seolah-olah tidak memberi peluang kepada lawan tutur untuk menjawab “tidak” dan jelas menunjukkan bahawa penutur telah mengancam kebebasan lawan tutur untuk membuat keputusan.


PENULISAN : 


“As a favor to me, do try to calm down” 
(Demi aku, cubalah tenang dulu)                                                        ~~Memoirs of a Geisha

  • Penutur melakukan FTA dengan meminta kesediaan lawan tutur untuk bertenang. 
  • Tetapi, penutur juga berusaha agar tidak memberikan ancaman terhadap air muka lawan tutur melalui penawaran yang dilakukan.

3. Strategi Kesantunan Positif / Keakraban : 

  • Penutur melakukan FTA dengan cara menjaga muka positif pendengar. 
  • Biasa digunakan antara dua orang teman, kenalan atau pihak-pihak yang berhubungan akrab.


CONTOH

LISAN

CONTOH 1: “Buka pintu ye.” 
  • Dengan bertutur sebegitu, seolah-olah penutur juga mengambil bahagian dalam penyelesaian pekerjaan “membuka pintu”
CONTOH 2: ”Padamkan tulisan tu, sayang.” 
  • Menggunakan panggilan untuk menunjukkan keakraban


PENULISAN


“Just one moment, Doctor, if you please” 
(Silakan tunggu sebentar, Doktor)                                                               ~~Memoirs of a Geisha

  • Penutur berusaha menciptakan interaksi yang baik antara penutur dan lawan tutur 
  • Penggunaan ‘Doctor, if you please’ membuatkan lawan tutur lebih terlibat pada interaksi dan mengurangkan ancaman muka positif terhadap lawan tutur.

4. Strategi tidak Langsung 

  • Penutur melakukan FTA secara tidak langsung dengan membiarkan lawan tutur mentafsir tuturannya. 
  • Digunakan terutama apabila ada ancaman yang lebih serius terhadap air muka lawan tutur.


CONTOH

LISAN : 

CONTOH : “Saya tidak suka sangat bercakap dengan kau.” 

  • Pertuturan sebegini terus terang menyampaikan pandangan penutur dan telah mengancam air muka pendengar.

PENULISAN : 

“Can’t you see this room is too hot?” 
(Tak tahukah ruangan ini panas?)                                                      ~~~ Memoirs Of A Geisha

  • Tuturan ini sebenarnya bermaksud “sila buka kipas”. Petunjuk dilakukan dengan menyebutkan sesuatu yang berkaitan dengan tindakan yang diminta. 
  • Tujuan: Penutur ingin mengurangkan FTA


Strategi kesantunan lisan yang dipraktiskan oleh masyarakat Melayu dalam perbualan harian

1. Masyarakat Melayu menganggap amat menitikberatkan perlakuan yang menjaga air muka atau maruah pendengar.

2. Oleh itu , mereka akan cuba mengelak daripada berhadapan dengan konflik semasa berinteriaksi secara lisan.

3. Justeru , orang Melayu menggunakan pelagai strategi semasa berinteraksi.

4. Antara strategi kesantunan yang digunakan ialah :
  • Strategi ikhlas : Menegur secara tidak langsung sesuatu perbuatan yang tidak disukai. 
  • Strategi merendah diri : Menggunakan ungkapan-ugkapan membawa maksud penutur merendah diri dengan mengaku kelemahan dan kekurangan diri. 
  • Strategi maaf : Meminta dengan baik untuk bercakap atau berbuat sesuatu. 
  • Strategi penyelesaian: Mengambil keputusan memudahkan sesuatu urusan supaya penyelesaian cepat dicapai tanpa mendapat banyak bangkangan. 
  • Strategi memberi peluang : Memberi peluang kepada yang lebih berumur atau berjawatan dalam masyarakat untuk bersuara. 
  • Strategi penghargaan dan pujian : Urusan yang menunjukkan seseorang itu dihargai kerana sesuatu tindakan yang disenangi. 
  • Strategi berterima kasih : Penghargaan secara ucapan terima kasih terhadap seseorang yang telah membuat sesuatu kebaiankan atau pertolongan. 
  • Strategi kiasan : Ujaran yang diucapkan secara tidak langsung untuk menjaga air muka seseorang. 
  • Strategi berhemah dan lemah-lembut : Menggunakan ujuran yang halus dan tidak kasar untuk membuat teguran atau nesihat supaya pendengar tidak berkecil hati. 
  • Strategi kecindan : Menggunakan ujuran dalam bentuk jenaka untuk menimbulkan perasaan gembira. 
  • Strategi menyapa/menegur : Ujaran yang dibuat apabila bertemu dengan seseorang untuk menunjukkan keramahan walaupun telah mengetahui apa yang dibuat oleh seseorang. 
  • Strategi ungkapan Rabani : Menggunakan ujaran seperti Bismillah , Alhamdulillah , doa untuk menunjukkan kekuasaan Allah.
Strategi kesantunan penulisan yang terdapat dalam artikel

ARTIKEL 1 : BUDI BAHASA MAKIN TERHAKIS


SASTERAWAN Negara Usman Awang semasa hayatnya pernah menghasilkan sebuah puisi menggambarkan sikap orang Melayu yang begitu menjunjung tinggi adab dan kesantunan.

" Melayu itu orang yang bijaksana, Nakalnya bersulam jenaka,

Budi bahasanya tidak terkira, Kurang ajarnya tetap santun,

Jika menipu masih bersopan, Bila mengampu bijak beralas tangan. "
Demikian bait-bait puisi nukilan beliau yang melambangkan bagaimana orang Melayu begitu mementingkan perihal kesantunan, adab dan budi bahasa. 

Namun, bak kata pepatah, 'lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang'. Orang Melayu kini dilihat semakin hilang arah apabila pengamalan nilai budi bahasa dan sopan santun semakin terhakis. Walaupun pahit untuk diterima, tetapi itulah hakikatnya apabila orang Melayu sudah tidak mahu lagi mengangkat martabat Melayu itu sendiri. Berbicara soal budi bahasa, kita boleh lihat bagaimana cara pertuturan generasi muda zaman sekarang. Mereka sudah tidak lagi segan silu bercakap kasar bukan saja ketika di kalangan rakan sebaya bahkan pada mereka yang lebih berusia.

Pendapat sama turut diakui Karyawan Tamu, Universiti Malaya, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim. Menurutnya, fenomena terhakisnya amalan berbudi bahasa dalam kalangan orang Melayu terjadi akibat perubahan sistem nilai masyarakat hari ini. "Sistem nilai orang Melayu sekarang sudah berubah kerana orang Melayu zaman dahulu lebih pentingkan orang lain seperti orang tua, dan guru. Ini kerana orang dahulu amat menghormati golongan yang lebih tua, dan bukannya kedudukan dan pangkat seperti sekarang," katanya.

Nik Safiah yang terkenal sebagai pejuang mendaulatkan bahasa Melayu turut memberitahu, sistem nilai orang Melayu kini lebih cenderung menghormati dan mengangkat martabat seseorang dari segi kedudukan dan pangkatnya. Katanya lagi, orang Melayu juga semakin hilang jati diri dan tidak lagi memegang budi bahasa sebagai lambang kedaulatan Melayu kerana pemikiran mereka telah dipengaruhi unsur luar.

Selain faktor perubahan sistem nilai dan pengaruh pemikiran luar, amalan berbudi bahasa juga semakin terhakis akibat pengaruh filem dan bahan bacaan yang kerap kali menggunakan bahasa pasar, kasar dan lucah. "Kalau dilihat sekarang dialog dalam filem-filem tempatan juga tidak lagi mencerminkan identiti orang Melayu yang terkenal dengan sifat berbudi bahasa. Adegan dan pertuturan dalam filem tertentu lebih banyak menggunakan bahasa kasar yang boleh memberi kesan yang tidak baik kepada penonton kanak-kanak dan remaja yang menontonnya," ujar Nik Safiah.

Dalam pada itu, perubahan dari segi penggunaan bahasa yang baik dalam novel turut berubah apabila semakin banyak penulis novel di pasaran hari ini menggunakan bahasa pasar dalam hasil karya mereka. Situasi ini perlu dipandang serius memandangkan secara majoritinya novel adalah bahan bacaan yang paling laris dan popular di kalangan remaja. Nik Safiah berkata, perkahwinan campur antara orang Melayu dengan kaum lain sama ada Cina, India atau orang asing juga boleh mendorong kepada terhakisnya amalan berbudi bahasa di kalangan generasi muda.

"Sebenarnya proses pembelajaran anak-anak bermula di rumah, jadi sekiranya ibu bapa berkahwin campur kemungkinan besar mereka ini tidak akan mengajar anak-anak mengenai amalan berbudi bahasa dan bersopan santun. Sekiranya situasi ini terus berlaku ia boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan masyarakat Melayu dan lama-kelamaan identiti Melayu itu akan lenyap," katanya. Tambahnya lagi, identiti orang Melayu juga terhakis melalui aspek pemakaian. "Orang Melayu kini tidak lagi mahu memakai pakaian Melayu seperti baju kurung dan baju Melayu, sebaliknya mereka lebih gemar dan berbangga mengenakan pakaian yang kurang sopan akibat pengaruh pemikiran Barat," katanya. Justeru beliau berkata, bagi mengembalikan semula generasi Melayu yang berbudi bahasa dan memegang kuat kesantunan Melayu, mereka sendiri harus bangun berganding bahu mewujudkan identiti sendiri.

"Tegur menegurlah, yang tua menegur yang muda begitu juga sebaliknya, sama-sama kena terima, daripada situlah terbentuknya amalan berbudi bahasa,"katanya. Sementara itu, Penggiat Budaya, Zubaidah Sual pula berkata, dalam soal ini, ibu bapa adalah golongan yang perlu memainkan peranan ke arah pembentukan jati diri dan budi pekerti yang baik di kalangan anak-anak. "Ibu bapa sekarang berdepan dengan situasi yang sangat mencabar kerana mereka perlu menggunakan pendekatan yang sangat berbeza bagi memastikan anak dirumah mendapat didikan yang sewajarnya. "Bagaimanapun, kadangkala ibu bapa telah memberikan didikan yang sempurna di rumah, tetapi anak pula yang membawa pulang perkataan yang kurang enak didengar dari sekolah. Sebab itu saya rasa pihak sekolah terutamanya guru harus menanamkan amalan berbudi bahasa di kalangan pelajar supaya generasi Melayu berbudi dapat dibentuk semula," ujarnya.

"Tegak rumah kerana sendi, Runtuh sendi rumah binasa

Sendi bangsa ialah budi, Runtuh budi runtuhlah bangsa."


Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20131010/ke_04/Budi-bahasa--makin-terhakis#ixzz2hbwIQ3Vt

Strategi Kesantunan Penulisan Yang Digunakan Dalam Artikel: 

1. Memperkenalkan tokoh-tokoh ternama yang menyampaikan pandangan mereka terhadap tajuk, iaitu Budi Bahasa yang Semakin Terhakis.

2. Penulisan mematuhi hukum tatabahasa

3. Kritikan disampaikan dengan sifat sederhana tetapi berkesan

4. Tiada bahasa kasar atau bahasa pasar digunakan

5. Penulisan secara formal dan sesuai dengan format penulisan

6. Memberi nasihat dan cadangan kepada pembaca dan masyarakat secara bersopan

7. Penulisan yang jelas dan mudah difahami


ARTIKEL 2 : Hilangnya Kesantunan Bahasa Kita

BERBICARA tentang kesantunan bahasa memang telah banyak diperkatakan oleh tokoh-tokoh bahasa terkenal di Malaysia seperti Asmah Omar dan Awang Sariyan. Ini tidak termasuk kajian-kajian yang dilakukan oleh ahli-ahli bahasa di universiti-universiti tempatan dan antarabangsa. Malah ruang lingkup kajian tidak hanya tertumpu kepada takrif kesantunan itu sendiri tetapi turut menyentuh perkara-perkara lain yang membicarakan persoalan tentang kesantunan bahasa dalam kalangan komuniti yang dikaji.

Pemahaman tentang kesantunan bahasa bagi setiap golongan mungkin berbeza kerana ada yang berpendapat cukup sekadar memanggil orang tua dengan panggilan pak cik dan mak cik maka terserlah prinsip kesantunan tersebut.

Namun hakikatnya, banyak perkara yang perlu diteliti dalam menyelongkar maksud sebenar kesantunan bahasa dalam erti kata yang sebenar, di samping mencari inisiatif dalam meningkatkan kesantunan dalam kalangan masyarakat.

Perbincangan di sini bukanlah hendak memberi fokus kepada perlakuan atau perbuatan fizikal yang tidak menunjukkan kesantunan. Tetapi memberi tumpuan kepada penggunaan bahasa yang tidak sopan. Sekiranya hendak dibincangkan perlakuan yang tidak sopan dalam kalangan masyarakat hari ini, saban hari kita telah disajikan dengan berita-berita yang mengarah kepada perlakuan di luar sempadan kesantunan tersebut. Malah daripada pemaparan perlakuan yang sekecil-kecilnya kepada yang sebesar-besar perlakuan tidak sopan dan boleh mencapai kepada perlakuan yang lebih ganas.

Hakikatnya seperti yang dinyatakan oleh Awang Sariyan bahawa kesantunan bahasa merujuk kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang tertentu. Lumrahnya, masyarakat akan melihat didikan daripada ibu bapa sebagai asas kepada pembentukan kesantunan bahasa. Ini sejajar dengan pernyataan Awang Sariyan bahawa asas kepada kesantunan bahasa adalah kepatuhan kepada peraturan bahasa.

Namun demikian dalam realiti kehidupan seperti dalam percaturan sesuatu ceramah bagi tujuan berkempen dalam kalangan ahli politik mungkin ada sebahagian masyarakat beranggapan tidak memaparkan kesantunan bahasa. Justeru, di sinilah perlunya untuk melihat kepada peraturan penggunaan bahasa. Pihak lawan dan yang dilawan akan saling mencari idea dalam memancing undi para pengundi. Maka peraturan bahasa tidak lagi diguna pakai dalam hal yang sedemikian. Walapun demikian tidak dinafikan masih ada lagi ahli-ahli politik yang patuh pada peraturan penggunaan bahasa ini, mungkin untuk mengelakkan dikatakan sebagai calon atau ahli politik yang biadap.

Jika asasnya bermula daripada didikan ibu bapa maka seharusnya kita mencari pendekatan yang benar-benar memudahkan kalangan ibu bapa dalam memberi pengetahuan dan praktikal kepada anak-anak. Ini kerana kita sendiri akan berasa malu sekiranya ada kalangan pelajar di peringkat pengajian tinggi masih terbawa-bawa dengan adap sopan santun dengan orang tua yang mungkin telah diterima dari sejak kecil untuk memanggil golongan tua dengan panggilan mak cik dan pak cik.

Walaupun nampak tidak ada kewajarannya bagi situasi ini untuk seorang yang terpelajar memanggil seorang pensyarah dengan panggilan mak cik atau pak cik hanya kerana pensyarah tersebut sudah kelihatan agak tua. Tetapi itulah kebenarannya. Kalau kita menjadikan pakaian kita sebagai cara untuk menutup segala keaiban fizikal kita, maka ini juga merupakan suatu bentuk kesantunan.

Dalam memperkatakan kesantunan berpakaian sudah tentu banyak perkara yang perlu diteliti bukan sekadar sehelai kain yang menutup tubuh seseorang tetapi yang perlu dilihat adalah lebih daripada itu seperti jenis kain, saiz pakaian, ketebalan kain dan sebagainya. Jika dilihat daripada perspektif bahasa, kesantunan bahasa menjadi pakaian harian kepada individu. Ini kerana setiap hari kita tidak dapat lari dalam berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling kita. Maka di sini peraturan penggunaan bahasa amat dititik beratkan.

Dalam situasi formal dan tidak formal penggunaan bahasa yang seharusnya diambil perhatian sudah tentu berbeza. Peraturan bahasa yang menjadi asas kepada kesantunan bahasa, seperti yang dikatakan oleh Asmah Omar perlu dilihat kepada tiga jenis iaitu peraturan linguistik, peraturan sosiolinguistik dan peraturan pragmatik. Secara ringkas peraturan linguistik memberi penelitian terhadap sebutan dan nahu, manakala peraturan sosiolinguistik melibatkan peraturan dalam berkomunikasi atau berinteraksi dan seterusnya peraturan pragmatik menyentuh tentang keberkesanan tujuan komunikasi tersebut.

Berdasarkan kepada peraturan bahasa ini bermakna setiap satu melibatkan konteks yang berbeza. Hanya kita sebagai masyarakat mungkin tidak dapat membezakan dan mungkin tidak sedar bahawa setiap bentuk perlakuan dan penggunaan bahasa seharian kita ini, sebenarnya telah mematuhi peraturan-peraturan tersebut. Kebiadapan individu dalam berkomunikasi akan mencetuskan pelanggaran peraturan ini, akibatnya komunikasi akan gagal. Jadi bagaimanakah seharusnya sebagai ibu bapa dan juga masyarakat kita dapat mendidik anak-anak kita agar benar-benar mengikut peraturan tersebut?

Dalam hal ini, sebagai masyarakat biasa, pemahaman terhadap setiap peraturan tersebut cukuplah sekadar dengan kita memahami peraturan penggunaan bahasa yang tidak menyinggung perasaan orang sekitar kita. Juga pada dasarnya perlulah melihat juga kepada kesesuaian keadaan, masuk kandang kambing mengembek masuk kandang kerbau menguak. Kekangan dalam memastikan setiap anggota masyarakat patuh pada peraturan ini dalam penggunaan bahasa mungkin agak sukar. Ini terutamanya jika individu tersebut terlalu cepat terpengaruh dengan penggunaan bahasa tidak sopan yang dipaparkan dalam internet atau mungkin dalam media massa. Oleh itu masyarakat yang menjadi pemerhati atau penilai bagi penggunaan bahasa dalam kalangan komuniti atau di luar komuniti mereka, juga perlu bertindak mengikut peraturan ini. Bahkan dengan melarikan diri daripada sebarang peraturan bahasa ini akan meletakkan masyarakat tersebut kepada pengabaian kesantunan bahasa.


SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_01.htm#ixzz2hbz6Ukrl

Strategi Kesantunan Penulisan Yang Digunakan Dalam Artikel:
1. Memperkenalkan tokoh-tokoh bahasa terkenal di Malaysia

2. Menyampaikan sifat-sifat kesantunan yang perlu ada

3. Penulisan mematuhi hukum tatabahasa

4. Penulis tidak bersifat agresif dalam melakukan kritikan

5. Tiada bahasa kasar atau bahasa pasar digunakan

6. Penulisan secara formal dan sesuai dengan format penulisan

7. Memberi nasihat dan cadangan kepada pembaca dan masyarakat secara bersopan

8. Penulisan yang jelas dan mudah difahami

9. Penulis ikhlas dalam menyampaikan idea sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan